AZIMAT DIRI

...aku datang untuk pergi...LANTAS...aku tidak rasa mulia bila dipuji dan aku tidak rasa hina bila dikeji...KERANA...aku sudah tidak peduli manusiawi...yang ku cari hanya redho Ilahi...

Friday, September 25, 2009

Arak vs Madu


Pada suatu hari, Khalifah Umar ibni Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah. Apabila sampai di persimpangan jalan, beliau terserempak dengan seorang pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan sangkaan buruk Umar terhadap pemuda itu. Lantas Umar menyoal, "Apa yang engkau bawa itu?" Dalam keadaan ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab, "Madu, wahai Umar.." Sebenarnya pemuda itu sedang membawa kendi arak.

Selepas berkata demikian, timbul perasaan insaf di hatinya untuk bertaubat dari minum arak. Dia menyesal melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu. Namun Khalifah Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu; lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.

Doa pemuda itu dikabulkan Allah. Apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu. Allah menukarkan arak menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat dari tindakan Khalifah. Semenjak peristiwa itu, pemuda itu bertaubat dan berjanji tidak akan meminum arak lagi.

Monday, September 7, 2009

Antara 2 hati dan 2 iman




Hati dan Iman semut

Pada zaman Nabi Allah Sulaiman, berlaku satu peristiwa antara Baginda dan seekor semut.
Apabila Baginda ternampak semut itu melata di atas batu, Baginda berasa sangat hairan bagaimanakah seekor semut kecil boleh hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Lalu Baginda pun bertanya kepadanya: "Wahai semut, apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untukmu?".Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH. Aku percaya dan yakin di atas batu yang kering di padang pasir yang tandus ini pon ada rezeki untukku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan sebulan? Dan apakah yang engkau gemar makan?”Maka jawab semut; "Aku hanya makan sekadar sebiji gandum sebulan".Lantas baginda pun mencadangkan; "Kalau engkau hanya makan sebiji gandum sebulan, tidak perlulah engkau melata di atas batu. Aku boleh menolongmu".Kemudian Nabi Allah Sulaiman pun mengambil sebiji bekas lalu diletakkan semut didalamnya beserta sebutir gandum. Kemudian Baginda meninggalkan bekas tersebut selama sebulan.Apabila cukup sebulan Nabi Allah Sulaiman mendapati gandum itu hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Baginda menemplak semut; "Engkau rupanya berbohong padaku!.Bulan lalu engkau katakan bahawa engkau makan sebiji gandum sebulan. Ini sudah sebulan, tetapi engkau hanya makan setengah!"Jawab semut: "Aku tidak berbohong! Aku tidak berbohong!Sekiranya aku berada di atas batu, aku pasti akan makan apa jua sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum untuk sebulan. Ini kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah, dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi apabila engkau memasukkan aku kedalam bekas, rezeki aku bergantung pada engkau. Aku tidak percaya pada manusia, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya ianya tahan untuk dua bulan. Aku takut engkau lupa…"

Itulah Iman Semut!!

Saturday, September 5, 2009

Nilai Segelas Air


Ketika Khalifah Harun Al-Rasyid berkuasa di Baghdad, Iraq, ada seorang ulama faqih dan sholeh yang sangat terkenal pada masa itu, bernama Ali Syaqiq bin Al Azdi. Ketika beliau sedang menunaikan ibadah haji dan singgah di Iraq, Khalifah Harun Al-Rasyid memerintahkan pengawalnya untuk mengundang Syaqiq datang ke istananya.


Setibanya Syaqiq di istana, Khalifah Harun Al-Rasyid yang memiliki sifat tawadhu, meminta nasihat kepada beliau. Pada saat itu datang seorang pelayan membawa dulang berisi segelas air. Kemudian Syaqiq mengambil gelas itu dan bertanya kepada Khalifah, jika seandainya Khalifah berada di gurun yang sangat tandus dan sangat memerlukan seteguk air minum, berapa khalifah akan membayar untuk segelas air ini? Khalifah kemudian menjawab akan membayarnya dengan separuh kekayaan kerajaannya. Syaqiq lalu meminum segelas air tersebut.

Syaqiq kemudian bertanya kembali kepada Khalifah, jika seandainya air yang tadi diminum tidak dapat dikeluarkan dari tubuh Khalifah, berapa harga yang akan dikeluarkan Khalifah untuk dapat menyembuhkannya, supaya air tersebut dapat dikeluarkan dari tubuhnya? Khalifah kembali menjawab akan membayarnya dengan separuh kekayaan kerajaannya.

Syaqiq kemudian menjelaskan bahwa harga sebuah kerajaan ternyata sama dengan harga segelas air. Dimana makna yang terkandung didalamnya adalah jangan merasa bangga dan sombong dengan segala kekayaan yang kita miliki. Dan juga jangan saling memperebutkannya dengan menghalalkan segala cara. Karena kekayaan material di dunia sifatnya hanya sementara saja.

Kisah diatas melukiskan betapa tidak berertinya harga kekayaan material yang dimiliki manusia di dunia ini. Kita justeru sebaiknya memperkaya diri kita tidak hanya dari segi material saja, namun apa yang ada di sekitar kita dapat dijadikan sumber kekayaan yang hakiki, seperti kita memiliki keluarga yang sholeh dan sebagainya. Sehingga apa-apa yang kita lakukan insya Allah akan mendapat keberkatan dari Allah SWT.